top of page
Writer's pictureSerikat Malaysia

(Kenyataan Media) Bajet 2023: Mengimbangi Keperluan Ekonomi Tiga Penjuru

Updated: Jan 20, 2023



Petaling Jaya, 20 Januari 2023 - Jangkaan kemelesetan ekonomi pada 2023 menjadikan belanjawan 2023 antara tumpuan utama rakyat dan pakar-pakar ekonomi dalam negara.Ramai yang tertanya mengenai ruang fiskal kerajaan dalam mendepani jangkaan ketidakstabilan ekonomi, membiayai belanjawan dan juga memastikan defisit kerajaan terus terkawal. Apatah lagi dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), cabaran kerajaan kini adalah hutang negara yang sudah mencecah hampir RM1.2 trillion; RM1.5 trillion jika termasuk liabiliti. Serikat Malaysia menjangkakan Bajet 2023 akan memperlihatkan pakej belanjawan yang bersifat ‘berjimat cermat’(fiskal polisi yang mengecut) dengan pengurangan projek-projek mega,kemungkinan reformasi sistem percukaian negara dan juga perhatian khusus untuk menarik pelabur asing.


Fokus utama kerajaan pada ketika ini wajar diberikan kepada kemampuan hutang(debt affordability) dan juga kemapanan hutang(debt sustainability). Biarpun paras hutang rasmi kerajaan kini masih berada pada paras 61% daripada KDNK berbanding 65% paras siling dan hutang kerajaan dominan dalam mata wang ringgit, kerajaan tidak boleh selesa melihatkan komitmen utama untuk mendepani jangkaan ketidakstabilan ekonomi, hutang Kerajaan Persekutuan dan juga memperkukuhkan ekonomi pasca Covid.


Serikat Malaysia berfikir Belanjawan 2023 wajar memfokuskan kepada penjanaan aspek penawaran dalam ekonomi yang dilihat menjadi antara punca utama kepada kenaikan harga barangan dan juga inflasi dalam negara. Projek-projek mega pula perlu berasaskan kepada keperluan dan impaknya kepada ekonomi, pendapatan rakyat dan juga pelaburan. Jika dikira berdaya maju (economically viable) dan mendatangkan impak gandaan kepada ekonomi , ianya wajar diberi perhatian bagi memastikan perbelanjaan kerajaan yang mampan. Projek-projek kerajaan yang berlebihan dengan pulangan dan produktiviti yang rendah wajar dikaji semula impaknya dengan melakukan analisis kos-faedah yang lebih giat di peringkat Kerajaan Persekutuan.


Bagi mengimbangi kadar hutang negara dan juga menjana ekonomi domestik , adalah wajar untuk kerajaan membina sumber hasil yang lebih kukuh. Ini boleh direalisasikan melalui pengenalan cukai baharu atau mereformasi sistem percukaian sedia ada. Pengenalan cukai ke atas keuntungan modal daripada pasaran saham dan transaksi kewangan untuk meningkatkan hasil kerajaan wajar dipertimbangkan oleh kerajaan. Selain itu reformasi sistem percukaian sedia ada haruslah bersifat ke arah lebih progresif. Pengenalan semula cukai GST(dengan kajian semula) juga mungkin boleh dipertimbang bagi menyokong pendapatan negara.Selain itu, memandangkan subsidi memakan perbelanjaan besar kerajaan, adalah tiba masanya untuk kerajaan benar-benar meneliti jumlah penerima subsidi. Ini bagi memastikan perbelanjaan kerajaan bagi subsidi benar-benar sampai kepada yang memerlukan disamping dapat memperhalus kemungkinan peruntukan dapat dikurangkan.


Dengan kapasiti perbelanjaan yang terbatas, Serikat Malaysia berharap pembentangan Bajet 2023 ini lebih berpandangan kehadapan, mengambil kira strategi bagi menyokong generasi kini dan hadapan dengan mengurangkan defisit dan mengawal hutang dengan cermat.


-Tamat-


27 views0 comments

Comments


bottom of page