top of page
Writer's pictureSerikat Malaysia

(BM) KRISIS EKONOMI SRI LANKA

Updated: Sep 15, 2022




“Our Economy Has Completely Collapsed”

Perdana Menteri Interim Ranil Wickremesinghe



Keseriusan krisis politik dan ekonomi yang sedang melanda Sri Lanka menyebabkan negara tersebut terpaksa mengisytiharkan kegagalan untuk membayar hutang luarnya(default on debt payment) sebanyak US$ 51 billion. Dalam pada itu , rizab asing Sri Lanka hampir digunakan sepenuhnya(99% telah digunakan sejak 2019) menyebabkan negara tersebut tidak lagi mampu untuk mengimport barangan keperluan dari luar sekaligus mencetuskan kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan minyak. Secara natural nya, tingkat harga di Sri Lanka meningkat dengan mendadak. Setakat Jun , inflasi di Sri Lanka telah mencapai peratus tertinggi pada 54.6%. Orang ramai merusuh di kediaman pentadbiran kerajaan sementara Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke Maldives sebelum meletakkan jawatan.Akibat tekanan politik yang semakin memuncak, Mahinda Rajapaksa, abang kepada Presiden Sri Lanka, meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Darurat telah beberapa kali diisytiharkan sementara protes besar-besaran berlarutan berbulan lamanya.


Apa yang membawa kepada situasi seburuk ini di Sri Lanka?Apa yang pasti, situasi ini tidak berlaku dalam masa beberapa hari.


Imbangan pembayaran Sri Lanka

Sebaik sahaja Sri Lanka tamat perang sivilnya pada tahun 2009, negara tersebut mula memberi perhatian kepada perkembangan ekonomi domestiknya dengan menekankan pengeluaran lokal dan penjualan berbanding eksport. Sri Lanka juga sangat bergantung kepada barangan import daripada luar. Ini bermakna, hasil daripada eksport ke negara luar kekal rendah, sementara bayaran untuk membayar import terus terusan meningkat.Selain itu , secara geografinya, Sri Lanka hanya berkeluasan 65, 610 km persegi dengan hanya 22% daripada saiz tanahnya adalah tanah pertanian(arable land). Justeru, industri pertanian adalah terhad.Seperti yang boleh dilihat dalam rajah dibawah, peratusan pertanian kepada keluaran negara adalah yang paling kecil, berbanding sektor industri pembuatan dan perkhidmatan. Rajah 1 dibawah juga menunjukkan bahawa Sri Lanka sangat bergantung kepada sektor perkhidmatan(hampir 60% pada 2020) terutamanya sektor pelancongan.



Rajah 1: Peratusan sektor ekonomi dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) dari 2010 hingga 2020 di Sri Lanka.



Sumber : diekstrak daripada Statista; Bank Dunia


Juga, walaupun sektor pembuatan Sri Lanka menyumbang kepada keluaran negara kasar yang agak besar, tetapi negara tersebut tidak menghasilkan keluaran yang cukup untuk dieksport. Malah Sri Lanka sangat bergantung kepada barangan import untuk memenuhi keperluan domestiknya.Ini telah menyebabkan ketidakseimbangan dalam imbangan pembayaran(imbangan pembayaran defisit) iaitu situasi import sesebuah ekonomi melebihi eksportnya(seperti yang boleh dilihat dalam Rajah 2 dibawah). Dalam kata yang lain, untuk membayar importnya, Sri Lanka harus meminjam daripada negara lain. Dalam jangka masa pendek, imbangan pembayaran defisit dapat memarakkan pertumbuhan ekonomi. Dalam jangka masa panjang pula, imbangan pembayaran defisit sebaliknya menunjukkan negara tersebut terpaksa bergantung kepada hutang untuk penggunaan(consumption) penduduknya.





Rajah 2: Imbangan pembayaran (peratusan kepada KDNK) Sri Lanka.




Sumber: Economics and Social Statistics of Sri Lanka; Bank Pusat Sri Lanka


Rizab asing Sri Lanka

Dalam tahun pertama apabila Rajapaksa memulakan posisinya sebagai Presiden pada 2019, beliau telah melaksanakan langkah populis dengan potongan cukai besar-besaran bagi melunaskan janji pilihanraya yang secara lansung mengurangkan hasil kerajaan. Akibatnya, Sri Lanka pada masa itu amat bergantung kepada hutang baharu, hasil daripada sektor pelancongan dan juga kiriman wang pekerja dari luar negara untuk membayar hutangnya.Disebabkan kesempitan ekonomi ini, kerajaan terpaksa menggunakan simpanan rizab asing untuk menggerakkan ekonominya.


Dan disebabkan Sri Lanka mengimport lebih daripada eksportnya, ia memerlukan banyak nilai mata wang asing untuk membayar pembelian tersebut. Oleh sebab itu , permintaan Sri Lanka ke atas nilai mata wang asing terus-terusan meningkat, sementara kemampuannya untuk memperoleh mata wang asing-melalui eksport dan bentuk aliran masuk kapital lain semakin berkurangan. Ini boleh diperhatikan melalui rizab asing Sri Lanka kasar(Rajah 3 dibawah) yang tahun demi tahun semakin berkurangan. Dan harus diingatkan bahawa rajah dibawah menunjukkan rizab asing kasar, dan bukan rizab asing bersih yang ‘boleh digunakan’. Jika ditolak komitmen Sri Lanka, jumlah rizab asing yang boleh digunakan jauh lebih sedikit daripada apa yang diperlukan oleh Sri Lanka.


Oleh sebab itu, dengan kemampuan hasil kerajaan yang terbatas, dan pergantungan yang berlebihan keatas sektor pelancongan yang merupakan ‘generator’ ekonomi utama negara itu, Sri Lanka mendapati ia tidak lagi mempunyai rizab asing yang mencukupi untuk membayar importnya. Hal Ini sebahagian besarnya kerana sektor pelancongan Sri Lanka hampir sahaja berhenti sepenuhnya semasa pandemik Covid-19, menyebabkan negara yang bergantung penuh kepada sektor tersebut sangat terkesan .Serangan pengganas Easter oleh pengebom berani mati pada 2019 juga menyumbang kepada kelembapan sektor pelancongan di Sri Lanka. Akibatnya, setakat laporan Julai 2022, Sri Lanka hanya mempunyai $25 million rizab asing yang boleh digunakan sementara ia memerlukan sekurangnya $6 Billion untuk meneruskan ekonominya sehingga hujung tahun ini.






Rajah 3: Rizab asing Sri Lanka 2014-2022




Sumber: Diekstrak daripada TheConversation; Bank Negara Sri Lanka



Rizab asing yang tidak mencukupi bukan sahaja bermakna Sri Lanka tidak mampu untuk mengimport barangan keperluan , tetapi juga bermakna ia tidak mampu untuk membayar hutang luarnya sebanyak US$ 51 billion. Kegagalan untuk membayar faedah hutang juga bermakna reputasi Sri Lanka di mata pelabur juga terjejas teruk, dan menyukarkannya mendapatkan bantuan kewangan di pasaran antarabangsa. Ini yang dinyatakan oleh ketua produk penyelidikan makroekonomi di Frontier Research yang menyatakan “no one is going to give us anything on credit because there is no confidence that Sri Lanka will be able to pay back”. Keyakinan yang semakin pudar dalam kalangan pelabur juga bermakna kedudukan nilai mata wang Sri Lanka Rupee berkemungkinan untuk terus tergugat sekaligus menjejaskan lagi ekonomi Sri Lanka yang sudah sedia buruk.



Penyusutan nilai Sri Lanka Rupee


Asas ekonomi dalam konsep permintaan dan penawaran ialah, apabila permintaan tinggi, harga akan meningkat, dan nilai mata wang juga akan meningkat.Dalam konteks import eksport, apabila Sri Lanka lebih banyak mengimport berbanding eksport, secara perbandingannya nilai mata wang negara luar lebih banyak diminta(untuk membayar import masuk ke Sri Lanka) berbanding permintaan ke atas Sri Lanka Rupee. Apabila mata wang Sri Lanka Rupee kurang diminta, harga atau nilainya turun.


Ini menjelaskan penyusutan(depreciation) nilai mata wang Sri Lanka Rupee berbanding dolar US. Penyusutan nilai mata wang Sri Lanka Rupee yang ketara boleh dilihat semenjak awal Mar 2022. Sebelum itu, Sri Lanka Rupee kekal sekitar Rs 202-203 Rupee Sri Lanka berbanding satu Dolar US sebelum menyusut awal Mar akibat pelarasan dalam penentuan kadar pertukaran asing dalam minggu pertama bulan Mar(Rajah 4). Dalam tahun ini sehingga Mei 2022, Rupee merekodkan kemerosotan nilai sebanyak 44.3% berbanding Dolar US.Perbandingan silang-banding juga menunjukkan pergerakan yang sama, iaitu nilai Rupee jatuh berbanding Euro, Pound Sterling, Yen , Dolar Australia dan juga Rupee India dalam tempoh yang sama(Jadual 1).


Rajah 4: Pergerakan matawang Sri Lanka rupee berbanding US dollar





Jadual 1: Pergerakan matawang Sri Lanka Rupee berbanding matawang terpilih




Sumber: diekstrak daripada BizEnglish SriLanka ; Bank Pusat Sri Lanka


Namun, penyusutan nilai mata wang bukanlah sentiasa berita buruk buat sesuatu ekonomi.

Nilai mata wang yang secara relatif lebih murah di Sri Lanka sepatutnya menjadi faktor pendorong untuk sektor eksportnya berkembang; kerana harga barangan akan menjadi relatif lebih murah di Sri Lanka berbanding di negara-negara lain. Namun, ia tidak berlaku. Malah, Sri Lanka terus-terusan bergantung berlebihan kepada import luar untuk memenuhi keperluan domestiknya.


Dalam usaha Sri Lanka untuk menghalang penyusutan berterusan nilai mata wangnya, Bank Negara Sri lanka telah mengumumkan kadar pertukaran apungan ‘dikawal’( managed exchange rate floating) bermula 13 Mei 2022. Kadar pertukaran apungan dan kadar pertukaran tetap adalah dua rejim esktrem dalam pengurusan kadar pertukaran asing. Namun, kebanyakkan ekonomi menggunakan rejim perantaraan, yang mana terdapat intervensi dalam pertukaran kadar asing oleh bank negara dan juga fleksibiliti pasaran. Dalam kadar pertukaran apungan ‘dikawal’, kadar pertukaran tidak ditetapkan mahupun diapungkan; sebaliknya nilai mata wang tempatan disimpan dalam julat tertentu berbanding mata wang asing oleh campur tangan bank pusat. Dalam kes ini, permintaan dan penawaran US Dollar merupakan penentu utama kadar pertukaran Sri Lanka Rupee. Bank pusat menjangkakan melalui mekanisme ini, ia dapat menguatkan kadar pertukaran , memudahkan tekanan kecairan antara pasaran domestik selain mengawal ketidaktentuan(volatility) dalam pasaran kadar pertukaran asing.



Namun, harus diingatkan bahawa untuk kadar pertukaran apungan ‘dikawal’ berfungsi dengan baik, bank pusat harus mempunyai rizab asing yang mencukupi untuk mengepam dolar kedalam pasaran apabila nilai mata wang tempatan menyusut melebihi margin tertentu. Oleh sebab kemerosotan imbangan bayaran dan rizab asing yang semakin kering, Sri Lanka Rupee menghadapi tekanan berterusan yang tinggi. Defisit perdagangan Sri Lanka adalah sangat teruk, kiriman wang dari warganegara Sri Lanka yang bekerja diluar berkurangan dan pendapatan daripada sektor pelancongan pula sangat terhad.


Untuk menutup kelompongan keseluruhan defisit luar, Sri Lanka mempunyai pilihan samaada dengan menggunakan rizab asingnya ataupun membuat pinjaman luar. Disebabkan Sri Lanka tidak mempunyai rizab yang mencukupi , pilihannya adalah untuk membuat pinjaman. Namun, pilihan ini juga amat terhad kerana Sri Lanka sudahpun mengisytiharkan kegagalan membayar hutang(debt default) selain mempunyai penarafan kredit global yang rendah(low global credit ratings).


Kekurangan penawaran Dollar akibat daripada kemerosotan imbangan pembayaran akan terus memberi tekanan keatas Sri Lanka Rupee yang boleh lebih mendorong penyusutan nilai mata wang negara tersebut. Nampaknya, jangkaan bank pusat masih jauh daripada realiti; melainkan tekanan inflasi , kemerosotan imbangan pembayaran dan rizab asing Sri Lanka kembali pulih.


Tambahan lagi, apa yang kedengaran seperti perkara yang tidak munasabah ialah justifikasi cetakan wang kertas oleh rejim populis lepas di Sri Lanka , yang menyebabkan penawaran wang di Sri Lanka meningkat sebanyak 42% antara December dan Ogos 2021, sebagai Teori Kewangan Moden(Modern Monetary Theory). Lebihan wang tunai di pasaran dikatakan perlu untuk menutup defisit dan juga memastikan kadar cukai sentiasa rendah. Berdasarkan teori ini, dikatakan kerajaan boleh semudah-mudahnya mencetak wang kertas berbanding meningkatkan hasil kerajaan melalui cukai ataupun pinjaman. Apa yang lebih menarik, gabenor bank pusat Sri Lanka sendiri menafikan perkaitan antara pencetakan wang kertas dan inflasi ataupun penyusutan nilai mata wang, yang menyebabkan beliau sendiri memberi kelulusan untuk mencetak wang secara ekstensif bermula tahun 2020.


Walaupun mencetak wang kedengaran seperti idea baik untuk mengatasi krisis jangka masa pendek, pencetakan wang hanya akan menambahkan jumlah wang kertas yang berkitar dalam ekonomi, dan bukannya meningkatkan keluaran ekonomi. Dengan wang tunai ditangan, pengguna boleh meningkatkan penggunaannya(consumption). Namun, jika penawaran barangan adalah terhad sebagaimana di Sri Lanka, penggunaan yang meningkat hanya akan menyebabkan kekurangan(shortage) akibat permintaan berlebihan, tingkat harga meningkat dan seterusnya inflasi (terlalu banyak wang tunai mengejar barangan sedikit). Juga, apabila wang kertas dicetak dengan banyak melebihi keperluan, nilai mata wang ekonomi tersebut akan lebih menyusut. Apa yang merisaukan ialah kemungkinan berlaku kenaikan tingkat harga barangan dan perkhidmatan secara melampau(hiperinflasi) sehinggakan orang ramai hilang kepercayaan keatas wang kertas seperti yang berlaku di Jerman sekitar 1920-1923 yang menyaksikan mata wang Mark Jermen dihapuskan kerana tiada nilainya.


Pengharaman baja kimia, racun herba dan racun perosak

Dengan defisit perdagangan yang semakin meningkat, rizab mata wang asing yang semakin menyusut dan ekonomi yang semakin perlahan, Rajapaksa berusaha mengurangkan import barangan masuk dengan harapan dapat menyelamatkan US$ 400 million(angka jangkaan)

setahun untuk tujuan import. Rajapaksa telah mengharamkan pengimportan baja kimia,racun herba dan racun perosak dari luar negara untuk tujuan pertanian atas rasional agar Sri Lanka bergerak ke arah pertanian organik. Ini telah mengurangkan output tanaman Sri Lanka dengan mendadak ditambah lagi dengan kesan sampingan akibat daripada konflik geopolitikal Rusia-Ukraine yang sudahpun sedia buruk.


Akibatnya, bukan sahaja sektor pertaniannya gagal dan pengeluaran tanaman berkurangan, ia juga hanya membuatkan Sri Lanka lebih bergantung kepada barangan import yang bermakna lebih banyak rizab asing digunakan. Tambahan lagi, keluaran tanaman yang berkurangan bermakna Sri Lanka terpaksa menghadapi kekurangan bahan makanan yang serius sekaligus melonjakkan tingkat harga makanan di negara tersebut. Harga makanan asas di Sri Lanka seperti beras dan nasi naik mendadak sehinggakan penduduknya terpaksa mencatu makanan. Bilangan petani aktif juga semakin berkurangan; besar kemungkinan sebagai tanda protes terhadap polisi pertanian Presiden Rajapaksa.’


Inflasi

Pergantungan berlebihan Sri Lanka keatas import untuk memenuhi keperluan domestik dan penyusutan nilai Rupee Sri Lanka menyebabkan barangan luar negara menjadi relatif lebih mahal. Selain itu, akibat daripada tempias gangguan rantaian bekalan makanan hasil konflik Rusia-Ukraine, tingkat harga komoditi meningkat dengan mendadak. Ini juga ditambah dengan langkah polisi monetari yang ketat oleh institusi kewangan global melalui kenaikan kadar faedah yang membuatkan tingkat harga di rata-rata negara menjadi lebih tinggi,termasuklah di Sri Lanka.


Setakat Jun, tahap inflasi di Sri Lanka meningkat ke paras tertinggi , iaitu pada 54.6%. Data terbaru dikeluarkan Bank Negara Sri Lanka merekodkan tahap inflasi tertinggi pada 60.8% pada bulan Julai 2022. Ini boleh dilihat daripada kadar Colombo Consumer Price Index(CCPI) dalam Rajah 5 dibawah , yang mengukur peratusan perubahan harga konsumer. Dalam kata lain , tahap inflasi 60.8% ini bermakna jika pada Jun 2021 harga lof roti adalah $ 1.00, harga lof roti yang sama pada Jun 2022 ialah $ 1.60, peningkatan 60% dalam tempoh hanya 12 bulan. Ini bermakna, kuasa beli pengguna semakin merosot sementara kos hidup di Sri Lanka meningkat mendadak.




Rajah 5: Kadar inflasi Sri Lanka setakat Julai 2022




Sumber: Bank Negara Sri Lanka



Apa yang boleh diperhatikan , tahap inflasi yang tinggi di Sri Lanka ini dicetuskan oleh inflasi makanan, yang mencatatkan kadar inflasi 90.0% dalam basis tahunan, terutamanya dalam tepung susu, beras dan ikan segar.Ini menjelaskan mengapa Sri Lanka mengalami krisis makanan yang meruncing, salah satunya akibat peningkatan harga makanan melampau. Inflasi bukan makanan pula disumbang kebanyakkannya oleh kategori kenderaan seperti petrol, diesel, tiket bas dan penerbangan udara. Kategori ini sahaja mencatatkan kadar inflasi setinggi 143.6% pada bulan Julai 2022. Tidak menghairankan mengapa sekolah ditutup, perkhidmatan bas antara wilayah dikurangkan, orang ramai lebih dinasihatkan bekerja dari rumah akibat kekurangan minyak untuk memberi ruang kepada perkhidmatan penting seperti transit awam dan sektor kesihatan beroperasi.



Masalah hutang luar Sri Lanka

Apa yang lebih mengeruhkan keadaan, kebanyakan hutang Sri Lanka didominasi dalam nilai matawang asing(hutang luar Sri Lanka lebih besar daripada hutang domestiknya).Ini bermakna, apabila nilai matawang Sri Lanka Rupee jatuh, ia membuatkan nilai jumlah hutang luarnya jauh lebih mahal ;yang menambahkan lagi ketidakmampuannya untuk membayar hutang luarnya.


Juga,walaupun hutang domestik Sri Lanka agak stabil, hutang luarnya adalah sangat tinggi yang lebih banyak menyumbang kepada jumlah hutang negara tersebut . Pada tahun 2020 sahaja, nisbah hutang luar Sri Lanka kepada KDNK mencapai tahap tertinggi pada seratus satu peratus(101%) seperti yang boleh ditunjuk dalam Rajah 6; yang mana mengikut kajian oleh Bank Dunia, nisbah hutang luar kepada KDNK yang disyorkan untuk ekonomi membangun(emerging economy) seperti Sri Lanka hanyalah 64%. Pada akhir tahun 2021, peratusan hutang luar Sri Lanka mencapai paras 119% dan defisit kerajaan meningkat lebih daripada 10% kepada KDNK. Setakat 2022, hutang luar Sri Lanka adalah sebesar US$ 51B, dan kerajaan Sri Lanka telahpun mengisytiharkan ketidakmampuannya untuk membayar semula hutang tersebut.


Ini diburukkan lagi dengan fakta bahawa ekonomi Sri Lanka dilihat kini lebih banyak bergantung kepada pinjaman komersial dalam struktur hutang luarnya berbanding pinjaman konsesi; yang mana kadar faedahnya adalah lebih tinggi dengan tempoh bayaran balik yang lebih singkat(Rajah 7). Sebelum Sri Lanka diubah status ekonominya daripada negara berpendapatan rendah kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana(low-middle income country), ia banyak bergantung kepada dana konsesi daripada organisasi multilateral seperti Bank Dunia, Asian Development Bank(ADB) dan Japan International Cooperation Agency yang mana pinjaman daripada organisasi sebegini disifatkan dengan kadar faedah yang rendah(1% dan kurang) dengan tempoh pinjaman balik yang lebih lama(25 ke 40 tahun). Dengan transisi Sri Lanka yang kini kelihatannya banyak bergantung kepada pinjaman komersial meningkatkan risiko dan ketidakstabilan makroekonomi negara tersebut, terutama apabila pengurusan rizab antarabangsanya bukanlah yang terbaik.




Rajah 6: Jumlah Hutang Kerajaan (sebagai peratusan KDNK) di Sri Lanka (1990 – 2020)




Sumber: Diekstrak daripada Observer Research Foundation(ORF); Worldbank


Rajah 7: Komposisi Hutang Luar Sri Lanka(2004-2019)




Sumber: Diekstrak daripada Observer Research Foundation(ORF); TheDiplomat; Bank Pusat Sri Lanka



Dalam satu penilaian oleh IMF, dikatakan bahawa Sri Lanka memerlukan US$ 7 billion setiap tahun untuk membayar hutang tukaran asingnya, yang memerlukanexternal financing at concessional rates and long maturities, sustained over many years’. Dapat dilihat bahawa keperluan Sri Lanka agak kontradik dengan transisi gradual Sri Lanka ke arah pinjaman komersial dengan tempoh matang yang pendek. Ini membebankan kemampuan kewangan jangka masa pendek negara tersebut dan memberi tekanan untuk membayar semula pinjaman mereka; yang telah dibuktikan bahawa Sri Lanka tidak mampu untuk berbuat demikian. Apatah lagi, rizab tukaran asing mereka semakin lama semakin kering. Setakat Mar 2022, rizab asing mereka hanyalah US$ 2 billion yang menyukarkan lagi pengimportan barangan keperluan, apatah lagi apabila rizab asingnya jatuh ke paras US$ 50 milion;paras yang tidak cukup untuk menampung sehari import negara tersebut.


Masa depan Sri Lanka

Apa yang diperlukan Sri Lanka ketika ini ialah reformasi jangka masa panjang secara besar-besaran, penstrukturan semula ekonomi dan politiknya. Penulis berpegang kepada ‘economy is politically governed’. Selagi Sri Lanka tidak mengatasi ketidakstabilan politik di negaranya, sukar buat Sri Lanka untuk mendapatkan bantuan daripada komuniti antarabangsa. Juga, selagi tiada pentadbiran yang stabil, apa-apa bentuk bantuan sukar untuk disalurkan , yang hanya akan melarutkan lagi krisis ekonomi yang berlaku di negara tersebut.


Setakat kini, Sri Lanka sedang mengharapkan ‘bailout’ daripada Institut Kewangan Antarabangsa(IMF) . Namun semestinya, IMF tidak akan memberikan wang mudah kepada Sri Lanka untuk Sri Lanka membayar hutangnya. Berkemungkinan bantuan yang IMF berikan hanyalah bantuan bagi menstrukturkan semula hutang luar Sri Lanka. Jika IMF memberikan bantuan kewangan sekalipun, ia mesti diikuti dengan syarat yang sangat ketat.


Dalam pada itu, Sri Lanka juga mendapatkan bantuan daripada kuasa besar China dan India. Namun, China kelihatan kurang campur tangan secara terus dalam krisis Sri Lanka ini

kerana gusar negara lain yang juga bergantung besar kepada pinjaman China akan mengharapkan bantuan yang sama daripadanya. Apa yang pasti, China tidak akan membiarkan Sri Lanka terkapai-kapai dan lemas dalam krisis ini secara keseluruhan kerana ia masih memerlukan Sri Lanka kerana kedudukan strategiknya dalam laluan Belt and Road Initiative(BRI). Sri Lanka mempunyai pelabuhan paling sibuk di dunia(Colombo) selain masih memerlukan Sri Lanka sebagai medium pengaruhnya di rantau Lautan India. Terdapat juga pandangan yang mengatakan kebergantungan Sri Lanka kepada China(hutang kepada China adalah 10% daripada jumlah hutang luar Sri Lanka) merupakan ‘debt trap’ yang dilakukan China; negara yang gagal membayar balik hutangnya kepada China dipaksa untuk menyerahkan wilayah negara atau memberikan pemilikannya , tetapi China menafikannya. Juga, rata-rata penganalisis hubungan antarabangsa juga tidak melihat situasi ini sebagai perangkap hutang oleh China kerana jika diikutkan komposisi peratusan hutang luar Sri Lanka setakat April 2021, pinjaman Sri Lanka daripada pasaran kapital antarabangsa ialah 47 peratus, Asian Development Bank(ADB) 13 peratus , Japan 10 peratus, Bank Dunia 9 peratus, India 2 peratus dan lain-lain 9 peratus. Justeru, pandangan Perangkap Hutang China hanya kerana China membentuk 10 peratus daripada hutang luar Sri Lanka adalah kurang tepat kerana komposisi hutang luar Sri Lanka tidak didominasi oleh China.


Selain itu , polisi luar ‘neighbourhood first’ India amat membantu Sri Lanka. India antara negara terawal yang sedia membantu Sri Lanka daripada segi kewangan. Namun, India tidak boleh terus-terusan memberikan bantuan kepada Sri Lanka memandangkan negara tersebut sudahpun memberi bantuan ekonomi sebanyak $3.5 bilion dalam bentuk pinjaman dan kredit pembeli dalam bentuk makanan, ubat-ubatan dan minyak. Juga, terdapat suara-suara kurang senang dalam kalangan rakyat India yang mempertikai bantuan India kepada Sri Lanka ;“mengapa kami perlu membantu Sri Lanka?Sri Lanka patut bantu dirinya dahulu sebelum meminta bantuan daripada India”.


Dalam situasi ini, Sri Lanka nampaknya berada dalam situasi yang sukar untuk keluar daripada kitaran krisis ekonomi yang dilaluinya. Seperti yang dikatakan oleh Presiden interim Sri Lanka Wickremesinghe sendiri, Sri Lanka kelihatannya terpaksa bertahan dengan kekurangan banyak bekalan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun depan. Hanya pada tahun 2024 atau 2025 negara tersebut boleh menjangkakan keadaan akan beransur pulih.Sri Lanka juga terpaksa menelan realiti pahit bahawa tanpa bantuan daripada komuniti antarabangsa, adalah sangat sukar untuk negara tersebut melepaskan diri daripada kecelaruan ekonomi yang melanda; sekaligus mencalarkan maruah dan kredibiliti negara tersebut di rantau antarabangsa.


Apa yang pasti, sudah tiba masanya untuk Sri Lanka mengurangkan pergantungan lebihan keatas import bagi memenuhi keperluan domestiknya. Dalam tempoh pemulihan untuk menjana semula ekonomi dan meningkatkan jumlah rizab asing , Sri Lanka wajar untuk menggerakkan strategi penggantian import sebagai alternatif kepada barangan import yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pasaran lokal, tetapi juga menggerakkan ekonomi domestik. Sri Lanka wajar memperhebatkan sektor eksportnya bagi menguatkan semula nilai matawang asing selain meningkatkan jumlah rizab asing. Sri Lanka perlu sedar bahawa langkah drastik populis yang menyusahkan hanya akan membawa kesan buruk kepada ekonomi dan politik negara tersebut. Juga, adalah amat penting untuk Sri Lanka memberi perhatian kepada peningkatan produktiviti ekonomi secara keseluruhan. Ini semestinya memerlukan pelaburan yang hebat dalam infrastruktur , perindustrian dan pertanian. Oleh itu, selain meminta bantuan kewangan, Sri Lanka boleh mempertimbangkan bantuan kepakaran antarabangsa atau pinjaman teknologi dalam memperhebatkan sektor pembuatannya, memodenkan sektor pertaniannya dan menggalakkan lagi sektor terpenting pelancongannya. Ini adalah supaya Sri Lanka dapat membina kemandirian sendiri dalam membaikpulih ekonominya secara beransur-ansur dalam jangka masa panjang.Ini termasuk menekankan barisan pentadbiran yang berkredibiliti , bersih dan produktif.


Pembaikpulihan ekonomi daripada jurang krisis adalah amat sukar, dan merupakan proses yang menyakitkan. Namun, jika Sri Lanka terus-terusan dengan takuk pentadbiran lama yang korup, nepotistik dan lemah, ia hanya akan mendapati protes dan rusuhan rakyat berterusan bertahun lamanya.




Siti Zaleha Abdullah

Felo Penyelidik SERIKAT Malaysia


227 views0 comments

Comments


bottom of page